Kerajaan akan memfokus kepada usaha menambah hasil dan meningkatkan aliran tunai pasaran dalam pengubahsuaian Bajet 2016 yang dijangka diumumkan pada 28 Januari ini.
Nanyang Siangpau melaporkan antara yang bakal diumumkan dalam pengubahsuaian Bajet 2016 ialah membenarkan pekerja mengurangkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus.
Pada ketika ini, majikan dan pekerja perlu mencarum masing-masing pada kadar 13 dan 11 peratus.
Kerajaan pada 2008 juga pernah membenarkan caruman pekerja dikurangkan, tetapi langkah itu mendapat sambutan yang kurang memberangsangkan.
Selain KWSP, Nanyang Siangpau melaporkan kerajaan juga bakal membenarkan majikan berhenti mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) buat sementara waktu, tetapi pekerja perlu meneruskan caruman.
"Pekerja akan tetap menikmati perlindungan Perkeso seperti biasa," demikian menurut akhbar itu.
Dengan langkah mengenai KWSP dan Perkeso yang diperkenalkan, ia dijangka dapat meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat selain menambah aliran tunai dalam pasaran.
Selain itu, kerajaan juga dijangka melaksana langkah lain untuk meningkatkan aliran tunai dalam kalangan syarikat.
"Salah satu cara yang mungkin dilaksana ialah membenarkan majikan berhenti untuk menyumbang ke dalam Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) buat sementara waktu.
Dalam pada itu, kerajaan juga mungkin mengemaskan pelaksanaan zon perdagangan bebas dan melancarkan skim pengampunan khusus untuk syarikat yang lari cukai bagi menambahkan hasil kerajaan.
Skim pengampunan bertujuan menggalakkan peniaga yang tertinggal melakukan pengisytiharan atau pernah melakukan kesalahan supaya menyerah diri.
Di bawah skim tersebut, peniaga hanya perlu membayar cukai yang belum dijelaskan tanpa dikenakan penalti.
Sebelum cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, peniaga dilaporkan sering menggunakan 'kemahiran perakaunan' untuk mengelak cukai jualan.
Sementara itu, walaupun terdapat ura-ura bahawa jualan minyak RON95 mungkin akan dikenakan GST, tetapi keadaan itu dijangka tidak berlaku selepas mengambil kira pertimbangan politik.
No comments:
Post a Comment